GEORGETOWN – Pemuda Umno Pulau Pinang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan campur tangan Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam penjualan tanah Taman Manggis kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC).
Penolong Setiausaha Pemuda Umno negeri Ifan Zaini Md Tahar berkata pihaknya akan membuat satu laporan di samping mengemukakan dokumen berkaitan kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Lim berhubung dakwaan itu.
Beliau mendakwa satu memo telah dikeluarkan oleh pejabat ketua menteri mengenai penambahan nisbah densiti pembinaan di tanah Taman Manggis kepada KLIDC.
“Bila densiti bertambah, keuntungan bertambah, adakah kerajaan negeri dapat apa-apa bayaran untuk penambahan nisbah itu?” katanya kepada pemberita sebelum laporan itu dibuat di sini, Isnin.
Baru-baru ini, sebuah portal mendakwa memo yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu turut disertakan arahan bertulis oleh Lim di atas surat permintaan oleh KLIDC yang dilampirkan bersama.
Arahan itu adalah untuk meningkatkan nisbah plot kelulusan daripada 1:55 kepada 1:7 yang memberikan lantai bangunan kelulusan ruang bersamaan dua plot tambahan tanah Taman Manggis. – BERNAMA