TELUK INTAN – Sepasang suami isteri maut apabila beca yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori di Kilometer 3.5 Jalan Maharajalela berhampiran lampu isyarat Kampung Banjar di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.10 petang itu menyebabkan Ngou Yeow Hock, 51, dan isterinya Tan Bee Choo, 52, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata kedua-dua mereka yang berasal dari Kampung Cina Seberang di sini, bekerja sebagai pengutip barangan lusuh sedang dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Hutan Melintang.
“Beca yang ditunggang Ngou dari kiri bahu jalan menyeberang ke kanan untuk masuk ke lorong menghala Hutan Melintang mereka dilanggar sebuah lori dari arah belakang kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi WhatsApp hari ini.
Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat, katanya. – BERNAMA