GEORGETOWN – Sepasang suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu maut setelah motosikal mereka melanggar belakang sebuah kereta di KM 0.5 Jambatan Pulau Pinang, di sini semalam.
Mohamad Rizal Salim, 39, yang merupakan OKU pekak, mati di tempat kejadian manakala isterinya Noraini Ahmad, 36, yang pekak dan bisu serta sarat mengandung anak kedua, mati dalam perjalanan ke hospital.
Pasangan itu yang tinggal di Lebuh Sungai Pinang 7, George Town, mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun dan semasa kejadian mereka dalam perjalanan ke Penanti untuk ke rumah keluarga Mohamad Rizal.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatash Wahid berkata ketika kejadian pada 6.20 petang itu, motosikal pasangan itu yang datang dari arah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Perai baru sahaja memasuki susur jambatan.
“Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar belakang kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun,” katanya di sini.
Mior Faridalatrash berkata mayat pasangan itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Kemalangan ketika waktu puncak di jambatan Pulau Pinang itu menyebabkan kesesakan sejauh lima kilometer dari Lebuhraya Tun Dr Lim Cheong Eu menghala ke Perai.
Sementara itu bapa Noraini, Ahmad Ishak, 62, yang ditemui di Hospital Seberang Jaya berkata anak dan menantunya bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas dan mereka ada memaklumkan hendak ke rumah besannya kerana ingin mengambil barang.
Katanya sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan, beliau yang tinggal di Bukit Mertajam terus ke hospital.
“Noraini sangat gembira sejak mengandung anak kedua ini kerana mereka sekeluarga memang tunggu lama untuk dapatkan anak, arwah beritahu kami, bahawa beliau dijangka bersalin pada 24 April ini,” katanya. – BERNAMA