JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis bertitah mencadangkan kerajaan negeri agar dapat menubuhkan sebuah bank sendiri yang boleh dinamakan sebagai ‘Bank of Johor’.
Sultan Ibrahim bertitah, bank itu akan memberi perkhidmatan perbankan kepada rakyat negeri ini bukan sahaja untuk tujuan perumahan atau pembiayaan projek pembangunan tetapi untuk simpanan tabungan dan pelaburan.
“Dengan rizab wang tunai kerajaan negeri sahaja sudah mencecah RM3 bilion dan pendapatan kerajaan serta syarikat-syarikat milik kerajaan negeri pun telah mencecah RM7.5 bilion setahun.
“Ini sudah pasti mereka (pihak kerajaan negeri) sendiri yang boleh menjadi pemegang saham utama untuk Bank of Johor ini,†titah baginda lagi.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika baginda merasmikan istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
Ilham penubuhan bank tempatan berkenaan menurut baginda susulan kesukaran rakyat negeri tersebut untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada pihak bank sedia ada atas pelbagai alasan.
Terdahulu baginda mengucapkan syabas kepada usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang terus komited dalam mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.
Namun, baginda kemudian bertitah masih ramai rakyat yang mengeluh mereka belum lagi dapat memiliki rumah tersebut kerana gagal untuk mendapat kelulusan pinjaman daripada pihak bank sendiri.
Oleh yang demikian, Sultan Ibrahim bertitah mencadangkan agar pihak kerajaan negeri dapat mengambil inisiatif untuk langsung menubuhkan sebuah bank tempatan sendiri yang diberi nama ‘Bank of Johor’.
Cadangan Sultan Ibrahim itu melakar sejarah tersendiri kerana secara kebetulan pada 14 April 1895, moyang baginda, Sultan Abu Bakar mengadakan istiadat di Johor Bahru memasyhurkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan.
Ia merupakan perlembagaan moden bagi negeri Johor yang disediakan Jemaah Menteri-menteri baginda dengan dibantu oleh sebuah firma guaman dari Singapura, Rodyk and Davidson. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA