IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menegur pemaju perumahan swasta yang dilihat lebih cenderung memenuhi matlamat meraih keuntungan besar dengan membina rumah mewah.
Baginda bertitah pemaju swasta wajib sama-sama mengambil tanggungjawab, membina lebih banyak rumah kediaman yang mampu dimiliki rakyat berpendapatan rendah.
Sultan Nazrin juga bertitah harga rumah di Malaysia meningkat lebih 100 peratus sepanjang tempoh 14 tahun lalu.
“Berdasarkan data daripada Jabatan Perumahan Negara antara tahun 2000 dan 2014 peningkatan harga rumah adalah sebanyak 109.6 peratus.
“Peningkatan ini ternyata tidak selari dengan kenaikan gaji di Malaysia pada kadar purata 2.6 peratus setahun,” titah baginda pada istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini Selasa.
Sultan Nazrin bertitah di Perak, 72.8 peratus isi rumah pada tahun 2014 berada di bawah pendapatan RM5,000 sebulan.
Sehubungan itu baginda bertitah menyedari tentang keperluan perumahan terutama dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah, kerajaan negeri memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik.
Titah baginda, untuk tujuan tersebut Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak akan ditubuhkan antara lain bertujuan mengawal selia pembangunan hartanah serta projek perumahan awam selain membina lebih banyak rumah mampu milik.
“Langkah tersebut sangatlah bertepatan, terpuji dan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri Perak untuk membela serta membantu kumpulan rakyat berpendapatan rendah,” titah baginda. – BERNAMA