BELUM pun menetapkan sebarang tarikh untuk melangsungkan perkahwinan, pelawak Tauke Jambu mengakui sudah pun ada pihak yang tampil berhasrat ingin menaja hari bahagianya itu bersama Nadia.
Menurut Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, dia awalnya terkejut apabila hampir keseluruhan aspek penting majlis itu ada yang berminat untuk menaja namun dia menganggap itu adalah rezekinya.
“Saya sebenarnya terkejut apabila ramai pihak yang ingin menaja perkahwinan kami kerana tiada sebarang tarikh ditetapkan lagi.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dimurahkan rezeki tetapi masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tajaan diterima,” katanya.
Tambah Tauke, dia mahu berbincang terlebih dahulu tentang hal tajaan perkahwinannya bagi mengelakkan sebarang salah faham pada masa hadapan.
Ini kerana jelasnya, dia faham bahawa apabila ada tajaan ianya memerlukan situasi menang-menang di antara kedua-dua belah pihak.
Pada masa yang sama, Tauke memberitahu, dia berhasrat untuk mengadakan majlis berkenaan secara besar-besaran kerana ingin menjemput semua ahli keluarga, kenalan, rakan artis dan wakil media.
“Kalau diikutkan kehendak sendiri, saya mahu mengadakan sebuah majlis sederhana sahaja tetapi saya perlu mengadakan secara meriah kerana tidak mahu sesiapa berkecil hati.
“Saya bukan sahaja mahu meraikan hari bahagia saya tetapi sama-sama berkongsi rasa gembira dengan kenalan, keluarga dan peminat,” katanya yang akan tetap melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
Tauke dan Nadia sah menjadi tunangan pada 6 Disember tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar Online