TEATER Ombak Rindu: Tiada Penghujung membuka tirai persembahannya di Istana Budaya, bermula semalam.
Naskhah yang diangkat daripada novel kegilaan ramai dan turut berjaya mencetus  fenomena apabila diadaptasi dalam bentuk drama dan filem ini, menampilkan Uqasha Senrose dan Keith Foo selaku pemegang peran utama.
Mungkin terlalu awal untuk meletakkan aras markah tertentu pada persembahan pertamanya namun terdapat beberapa banyak kelemahan yang diharapkan akan dibaiki.
Sejak mula ramai menyifatkan Uqasha bertuah apabila diberi peluang memegang watak utama teater memandangkan lakonannya di kaca TV masih belum cukup beri impak kepada penonton.
Ternyata, persembahan Uqasha tidaklah mengecewakan sangat namun ianya juga tidaklah mencapai tahap cemerlang.
Keith Foo bagaimanapun banyak membantu hidupkan suasana dengan lakonan yang lebih selamba.
Dalam beberapa babak, keserasian antara kedua-dua pelakon ini nampak agak hambar justeru diharapkan dalam persembahan seterusnya chemistry antara mereka akan terbaiki.
Uqasha yang tampil membawa dua watak iaitu Izzah dan Suri, nyata lebih memberi impak ketika hadir sebagai gadis kampung yang kasar dan santai berbanding semasa membawakan peranan Izzah yang digambarkan seorang yang lemah lembut, penuh kasih sayang dan memendam banyak emosi berat dalam dirinya.
Plot yang berantai-rantai menjadikan penonton tidak sempat jemu terlalu lama namun ianya juga disebabkan rasa keliru dan ‘lost’ seketika apabila terlalu banyak watak yang tidak berada di pentas perlu diimbas semula selain watak-watak yang baru dicipta.
Pada persembahan selepas ini, kru yang melakukan ‘transisi’ set juga diharapkan lebih cekap jadi tak ada lagi insiden terjatuhkan barang hingga berbunyi dan tercicir props di pentas.
Begitu pun garapan muzik dan persembahan lagu pada teater ini boleh dikatakan menarik di tangan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.
Malah sentuhan Pak Ngah membuatkan beberapa penonton menyanyikan semula lagu yang mereka dengar, usai tayangan malam tadi.
Lakonan pelakon pembantu terutama Zaidi Omar, Karl Shafek, Zarina Zainoordin dan Nad Zainal bagaimanapun harus dipuji dan banyak membantu menghidupkan teater ini.
Cuma bab pakaian mungkin perlu diberi lebih perhatian buat Zarina dan Nad kerana ada babak tertentu menyaksikan pakaian mereka nampak seperti ‘tak ukur baju (atau skirt) di badan sendiri’.
Semoga ruang dan peluang yang masih ada selepas ini dapat digunakan para pelakon Ombak Rindu dengan sebaiknya agar tidak mengecewakan peminat-peminat Izzah dan Hariz.
Kebanyakan yang datang sudah tentu bersama impian menggunung mahu mengharapkan sesuatu yang bakal membuai emosi mereka hingga menangis tersedu-sedu seperti ketika Ombak Rindu dihidangkan dalam bentuk novel, drama dan filem sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC