ARAU – Tentera Darat telah menghantar tiga batalion anggota untuk meningkatkan pengawasan dan kawalan keselamatan di perairan Sabah, kata Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Beliau berkata pasukan tambahan itu akan membantu pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
“Ketiga-tiba batalion terbabit telah digerakkan ke pesisir pantai Sabah dan diletakan di bawah Angkatan Tugas Bersama (ATB) untuk memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan Esscom,” katanya.
Raja Mohamed Affandi ditemui pemberita selepas perbarisan penghargaan kepada Panglima Pemerintahan Operasi Khusus Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya yang akan bersara Julai ini, di Kem Bukit Cowder, Markas 30 Briged Infantri di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan anggota Tentera Darat agar tidak terlibat atau menyertai sebarang aktiviti yang bertentangan dengan tugas hakiki mereka.
“Kita mengambil serius penglibatan anggota tentera dengan kumpulan pelampau atau militan seperti Daesh. Justeru, pergerakan anggota tentera dipantau ketat bagi memastikan mereka tidak terpesong,” katanya.
Raja Mohamed Affandi turut merakamkan terima kasih dan penghargaan Tentera Darat kepada Azmy yang berkhidmat dengan penuh integriti dalam pasukan itu selama 39 tahun. – BERNAMA