KUALA LUMPUR – Tindakan tidak akan diambil terhadap orang yang menggunakan biji popi sebagai ramuan dalam masakan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam semalam bahawa biji popi dalam kuantiti kecil tidak menjejaskan kesihatan seseorang.
“Biji popi itu merupakan rempah ratus dan sudahpun menjadi sebahagian daripada ramuan masakan kita sejak sekian lama.
“Ia diambil dalam kuantiti yang sedikit dalam masakan dan tidak mendatangkan kesan positif dalam ujian air kencing,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Dr Subramaniam dilaporkan berkata biji popi atau kas-kas digunakan sebagai bahan untuk meningkatkan keenakan masakan dan jumlah yang digunakan adalah kecil.
Biji popi turut diguna secara meluas dalam masakan di India dan beberapa negara di Timur Tengah dan Eropah. – BERNAMA