MUKAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat menolak campur tangan asing dalam urusan politik negara kerana hala tuju negara hanya boleh ditentukan oleh rakyat Malaysia.
Beliau berkata sekiranya dibiarkan berlaku campur tangan dari luar maka negara akan menjadi porak poranda seperti apa yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.
“Tidak boleh benarkan campur tangan dari luar. Kita tidak boleh benarkan penjajah zaman moden ini untuk menentukan siapa berhak untuk memimpin negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Tian, Matu, 67km dari sini, hari Sabtu.
Yang anehnya, katanya, seorang negarawan yang pernah memimpin negara ini dahulunya tidak membenarkan campur tangan luar tetapi “hari ini dia suruh orang asing campur tangan”.
Justeru, Najib menyeru rakyat Sarawak menolak campur tangan asing ini dengan memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri, 7 Mei ini.
Perdana menteri, yang dalam perjalanan menaiki helikopter dari Miri ke Sibu, singgah sebentar di perkampungan nelayan itu untuk berjumpa dengan rakyat serta meluangkan masa melawat Pasar Tani Matu.
Kehadiran beliau menerima sambutan yang hangat daripada lebih 5,000 orang penduduk di Matu dan kawasan sekitarnya.
Hadir sama Anggota Parlimen Igan, Datuk Abdul Wahab Dollah, calon Barisan Nasional (BN) Jemoreng, Dr Juanda Jaya dan calon BN Daro, Safiee Ahmad. – BERNAMA