KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) kesal dengan sikap sebilangan rakyat kerana mendokong laman Facebook yang membudayakan unsur “troll” bagi menjejaskan reputasi mana-mana pihak, individu dan keluarga mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Media dan Penerangan IKRAM Siswa, Abdul Rahman Paiman berkata, unsur “troll” di media sosial yang didokong sebilangan rakyat Malaysia itu membunuh tatasusila, kesopanan dan karekter masyarakat negara ini.
“”Troll” sama sekali tidak layak untuk dijadikan budaya dan ikutan ramai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Rahman memberi contoh laman Facebook yang membudayakan unsur ‘troll’ seperti Amran Fan dan Jadilah Seperti Rashid kini sangat popular dalam kalangan masyarakat.
Kata beliau, laman Facebook itu baru-baru ini ‘menyerang’ keperibadian tokoh masyarakat, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj hanya kerana menegur laras bahasa yang digunakan oleh peniaga “online” sewaktu berhubung dengan beliau.
Menurutnya, Harlina cuma menyentuh tentang tiga perkara yang ringkas dan mudah untuk difahami dalam tegurannya iaitu peniaga sepautnya menggunakan bahasa yang formal dan profesional ketika berkomunikasi dengan pelanggan.
Jelasnya, pemenang Anugerah Tokoh Siti Khadijah Peringkat Negeri Selangor 2011 itu turut menyatakan peniaga “online” wajar mengucapkan terima kasih kepada bakal pelanggan dan membaca dahulu apa yang ditulis sebelum menekan butang hantar.
“Panduan yang dikongsikan ini amat penting serta bermanfaat untuk para peniaga dan usahawan sama ada peniaga “online” terutama apabila sesebuah perniagaan mula berkembang ke peringkat yang lebih besar.
“Namun, kegagalan sesetegah pihak dalam memahami isu dan melihat sumber asal yang ingin disampaikan oleh Harlina telah disalah ertikan golongan netizen,” katanya.
Justeru, katanya, beliau kesal kerana nasihat yang disampaikan tidak dipetik sedikit pun oleh orang ramai sebaliknya masyarakat menyokong laman Facebook yang mengecam tokoh masyarakat itu.
“Budaya ‘troll’ sebegini amat mendukacitakan, apatah lagi ia berlaku keatas seorang tokoh masyarakat yang begitu banyak sumbangannya dari segi akademik, penyelidikan, khidmat masyarakat dan penulisan.
“Bersetuju ataupun tidak dengan saranan yang diberikan Harlina bukanlah isu atau satu kesalahan. Apa yang salah adalah budaya kebencian, mudah menghukum dan penghinaan yang dihamburkan hanya kerana percanggahan pendapat,” katanya. – Mynewshub.cc