TAIPING – Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan 100 tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia ‘Grooving The Mangroves’ dekat sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis yang diadakan di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Larut Matang, Kuala Sepetang itu adalah Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Puan Muda Perak Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Pada majlis itu, Tuanku Zara turut meluangkan masa melawat gerai pameran dan hutan paya bakau di kawasan sekitar selain menanam anak pokok bakau.
Terdahulu, Raja Nor Mahani yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertitah kawasan itu dipilih untuk sambutan kali ini kerana ia merupakan hutan simpan tertua dan terbaik di dunia dari segi pengurusan serta pentadbiran.
“Melalui program lawatan ke kilang kayu arang dan ‘boat tour’, ahli persatuan dapat mempelajari kepentingan hutan paya bakau terutama dalam industri hiliran bagi menjana ekonomi penduduk setempat,” titah baginda.
Selain itu, Raja Nor Mahani bertitah pembabitan ahli Pandu Puteri dalam menanam pokok bakau bukan sahaja memberi pengalaman kepada mereka, malah program itu dapat membantu mengurangkan pemanasan global.
Titah baginda Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut mengiktiraf kepentingan hutan paya bakau yang disifatkan berkait rapat dengan pembasmian kemiskinan, keadilan dan kelestarian iklim.
“Hutan paya bakau boleh mengurangkan impak terhadap pelbagai bencana alam seperti ribut selain menjadi tempat berlindung untuk pelbagai hiudpan seperti udang, ketam, ikan dan burung,” titah baginda.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perhutanan Perak Datuk Roslan Ariffin berkata pihaknya sentiasa berusaha memupuk kesedaran masyarakat dalam memastikan khazanah semula jadi dapat dipelihara dan dipertahankan.
Mengenai hutan paya laut Matang seluas 40,288 hektar, Roslan berkata ia telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal pada awal tahun 1902.
“Ia diurus untuk pelbagai tujuan termasuk bagi pengeluaran kayu jaras dan bahan mentah selain berperanan sebagai ekopelancongan,” katanya. – BERNAMA