KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin Al-Ghari meminta netizen tidak mempercayai tohmahan yang dilemparkan oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ke atas beliau.
Katanya, beliau tidak pernah melarang, menyekat atau membantah ceramah pendakwah terkemuka, Dr. Zakir Abdul Karim Naik datang ke Malaysia seperti yang didakwa oleh Mufti Perlis.
“Keributan terjadi hasil tohmahan dan fitnah dari Mufti Perlis sahaja. Semenjak posting Mufti `Nammam’ ini pada 9 April di Facebooknya, hingga saat ini, beliau masih gagal mengemukakan sebarang bukti Zamihan melarang atau membantah ceramah Dr. Zakir,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Justeru, kata Zamihan, semua netizen dinasihatkan supaya bertakwa kepada Allah S.W.T dan jangan sesekali terpengaruh dengan fitnah berkenaan.
“Kelak anda semua menanggung sengsara dosa fitnah, dosa mengumpat di dunia dan takutlah ‘azabul hariq Allah di akhirat,” katanya.
Aswaja semalam memberitahu telah membuat laporan polis ke atas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.
Biro Komunikasi dan Media Aswaja dalam satu kenyataan media memberitahu, laporan polis itu dibuat kerana fitnah yang dilontarkan oleh Mufti Perlis yang menyamakan Aswaja dengan Hindu Rights Action Force (HINDRAF).
Dakwa Aswaja, dakwaan Mufti Perlis bahawa pertubuhan itu membantah kehadiran Dr. Zakir di Malaysia menyebabkan Zamihan menerima ugutan daripada pengguna Facebook. – mynewshub.cc