KUALA LUMPUR – Usul mengenai insiden penculikan empat rakyat Malaysia oleh lanun bersenjata di perairan Semporna, Sabah, Jumaat lalu dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Usul yang dibentangkan oleh Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam) itu akan dibahaskan pada pukul 4.30 petang sehingga 5.30 petang ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said berkata notis pemberitahuan mengenai usul itu diterima Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, semalam.
Katanya usul berkenaan memenuhi tiga syarat iaitu melibatkan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.
“Oleh yang demikian saya membenarkan usul ini dibahaskan,” kata Ismail.
Terdahulu, ketika membentangkan usul itu, Datu Nasrun berkata sememangnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) memainkan peranan penting dalam melindungi keselamatan perairan Sabah, namun masih banyak yang perlu diperbaiki termasuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelak kejadian itu berulang.
Katanya kerjasama dengan pihak keselamatan maritim Filipina juga harus dimantapkan lagi bagi mengendali kejadian penculikan yang berlaku di sempadan perairan kedua-dua negara.
“Sehubungan dengan itu, dewan ini mesti membincangkan usul ini untuk mencari penyelesaian dan pendekatan berkesan dan komprehensif untuk keselamatan rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya.
Empat rakyat Malaysia iaitu Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21 diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, kira-kira 6.15 petang, Jumaat lepas.
Mereka antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia. – BERNAMA