PELAKON Ayu Raudhah dan suami, Zaquan Adha menerima nasib malang apabila rumah mereka yang terletak di Pasir Gudang, Johor, dirompak oleh sekumpulan penyamun, pada Jumaat.
Perkara itu didedahkan oleh pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu menerusi laman Instagram.
Kejadian tidak diingini itu turut berjaya dirakam menerusi CCTV rumah jirannya.
Rakaman video jelas menunjukkan tiga lelaki mengangkut beberapa barang dan pakaian milik pasangan ini.
Selain video, pasangan ini turut memohon bantuan orang ramai yang mengetahui sebarang info tentang kejadian itu dengan memuat naik gambar dan kereta warna hitam yang digunakan penyamun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz memberitahu, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 2.20 petang.
“Hasil siasatan mendapati suspek telah masuk dengan cara mengumpil tingkap bahagian dapur di belakang rumah yang mengadap lorong belakang.
“Jumlah kerugian serta barang yang hilang belum pasti kerana Zaquan masih berada di Sabah bersama Team JDT II untuk perlawanan bolasepak Liga Perdana,” katanya. – MYNEWSHUB.CC