PERLAWANAN suku akhir kedua Piala FA antara Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang berlangsung malam tadi, dicemari aksi pergaduhan sesama penyokong sehinggakan ada yang tercedera.
Insiden pergaduhan itu turut berjaya dirakam oleh salah seorang penyokong dan kini video berdurasi satu minit tersebut tersebar luas menjadi viral menerusi laman sosial.
Menurut satu sumber, pergaduhan berlaku kira-kira 5 minit sebelum tamatnya perlawanan berpunca tindakan sekumpulan penyokong yang baling batu dari luar ke tempat duduk penonton pasukan Perak di dalam stadium.
Suasana bertambah kecoh apabila ada penyokong yang tidak bertanggungjawab sengaja membaling mercun dan bunga api sehingga mengakibatkan penyokong lain menjerit ketakutan dan berlari bertempiaran.
Difahamkan, dua penonton dilaporkan cedera akibat teruk dibelasah.
Pergaduhan antara penyokong Perak dan Kuala Lumpur ini terlerai setelah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak pantas meredakan keadaan.
Dalam pada itu, perlawanan itu menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan Perak yang berjaya mengalahkan pasukan Kuala Lumpur, 1-0. – MYNEWSHUB.CC