SEORANG ibu berusia 33 tahun bersama bayi perempuan tujuh bulan ditemui mati di dalam rumah mereka di Taman Rawang Perdana, Rawang, Selangor, pagi tadi.
Kejadian itu disedari oleh bapa mentua mangsa yang secara kebetulan pergi menziarah rumah mereka kira-kira jam 9 pagi.
Difahamkan, ketika pergi melawat bapa mentua mangsa turuti mendapat pintu rumah berkenaan dalam keadaan terbuka.
Menurut seorang jiran mangsa, bapa mentua wanita itu turut menjerit selepas memasuki rumah berkenaan.
“Saya terdengar pakcik (bapa mentua) itu menjerit sebelum berlari untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.
“Pakcik itu menunjukkan anaknya yang berada di dalam rumah terbaring di lantai manakala cucunya terbaring tidak sedarkan diri di atas katil.
“Keadaan rumah seakan-akan dipecah masuk kerana berselerak dan pintu terbuka,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, jurucakap polis berkata dia menerima panggilan berhubung kes itu kira-kira 10.30 pagi sebelum ke lokasi kejadian.
“Polis menjumpai seorang wanita tempatan bersama anaknya terbaring di lantai dan atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pihak Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) sudah ke lokasi kejadian untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro