KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas cedera di bahagian leher selepas dikelar dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Alor Tembesu, Dungun, semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, penyamun telah melarikan barangan kemas warga emas berusia 87 tahun itu.
“Mangsa yang tinggal bersendirian meminta pertolongan jirannya untuk menghantarnya ke hospital. Kini mangsa dilaporkan stabil dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ahmad Zailani berkata polis telah memberkas seorang suspek lelaki tempatan kira-kira 9 pagi semalam di Kampung Sungai Buaya yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berusia 30 tahun itu positif dadah jenis morfin. – BERNAMA