PASANGAN selebriti Wan Raja dan isterinya, Yaya Maembong selamat menimang cahaya mata sulung, pada pagi Rabu.
Berita gembira itu dimaklumkan Wan Raja yang telah memuat naik sekeping gambar menerusi akaun Instagramnya dengan kapsyen “Assalamualaikum Dunia…”
Bagaimanapun, bayi perempuan yang diberi nama Seri ini telah dikuarantin oleh pihak hospital kerana tertelan najis ketika proses bersalin.
Menurut Wan Raja, 39, isterinya hanya dibenarkan berjumpa dan mendukung anak sulung mereka malam tadi setelah tamat tempoh kuarantin.
“Alhamdulillah, Yaya selamat bersalin secara normal pada jam 9 pagi.
“Keadaan menjadi panik apabila bayi yang berada dalam kandungan membuang air besar dan menyebabkan komplikasi kepada Yaya.
“Doktor memberi tempoh kontraksi selama 15 minit dan menyarankan kaedah pembedahan supaya tidak membahayakan nyawa bayi dan juga Yaya sendiri.
“Seperti satu keajaiban, kontraksi berjalan lancar dan Yaya boleh bersalin secara normal. Namun bayi dikuarantin selama beberapa jam bagi memastikan tiada sebarang jangkitan kerana tertelan najisnya sendiri,” kata Wan Raja kepada Berita Harian.
Tambah pelakon filem Anu Dalam Botol ini, dia yang menemani isterinya ketika proses bersalin itu sempat merakamkan detik mendebarkan itu menerusi kamera GoPro.
Difahamkan, Yaya yang juga merupakan kakak kepada pelakon terkenal Emma Maembong akan berpantang di rumah keluarga Wan Raja.
Sekadar imbasan, Wan Raja dan Yaya Maembong mendirikan rumah tangga pada 12 Disember 2014. – MYNEWSHUB.CC