KUCHING – Kekalahan calon DAP, Abdul Aziz Isa Marindo kepada calon underdog Barisan Nasional (BN), Lo Khere Chiang di kerusi N.13 Batu Kitang bagaikan isyarat awal daripada rakyat Sarawak yang menolak politik maki hamun.
Berdasarkan bacaan tidak rasmi setakat jam 8 malam Sabtu ini, calon BN masih terus mendahulu dengan 6,494 undi, manakala Abdul Aziz Isa yang hanya mendapat 4,628 undi. Majoriti rasmi dicatat BN ialah 1,840 undi.
Dalam pertembungan lima penjuru di Batu Kitang itu, calon PKR, Voon Shian Ni cuma mendapat 889 undi, sementara dua lagi calon Bebas masing-masing mendapat 59 dan 52 undi sekali gus hilang deposit pilihan raya.
Abdul Aziz, 27, yang pertama kali mewakili DAP bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam beberapa siri ceramah kempen anjuran parti Semenanjung itu terkenal dengan kata-kata kesat mencemuh pemimpin negeri dan pusat.
Keputusan undi tersebut, jelas sebagai membuktikan rakyat Sarawak khasnya di kerusi baharu tersebut menolak gaya politik maki hamun dan tohmahan buruk ke atas BN yang dibawa Abdul Aziz Isa dan DAP secara umum.
Kekalahan pemimpin muda Melayu DAP itu kepada calon yang langsung bukan pilihan untuk menang sesuai dijadikan pengajaran berguna bahawa budaya samseng yang dibawa DAP tidak diterima di Bumi Kenyalang.
Meskipun masyarakat bandar sering dianggap bersikap terbuka terhadap cacian mahupun perkara sensitif yang menyentuh maruah, namun kata-kata kesat dilontarkan ikon belia DAP itu terbukti hanya memakan dirinya.
Kehadiran ribuan penyokong dicanangkan portal propembangkang pada setiap kali ceramah anjuran DAP rupanya bukan untuk beri undi kepada Abdul Aziz Isa, sebaliknya hanyalah terhibur dengan lagak seorang pelawak muda.
Pendedahan berani neneknya, Hajah Mazuyin Haji Abdul Manan mengenai ‘warna’ sebenar cucunya seorang lelaki lembut berjaya membuka mata pengundi khasnya masyarakat Melayu yang mulai sedar imej liberal calon DAP itu.
Malahan tindakan terakhir Abdul Aziz Isa cuba menonjolkan dirinya dengan berpakaian Melayu dan menunaikan solat Jumaat pada hari terakhir kempen tetap gagal memikat pengundi Melayu sendiri. – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK