SEORANG wanita dan suaminya sanggup tinggal di dalam tandas selama 10 tahun bagi memastikan dua anak mereka dapat belajar di universiti terkemuka di China.
Wang Xiumei yang berasal dari Daerah Xinzhou, Wuhan itu pernah melakukan lima kerja sampingan sehingga anaknya terpaksa memujuknya mengurangkannya kepada dua sahaja.
Kisah pengorbanan pasangan gigih ini bermula pada 2006, apabila kedua-dua anak lelaki mereka mula memasuki kolej pada tahun tersebut.
Oleh kerana khuatir tidak dapat membiayai pengajian kolej mereka, pasangan ini mula tinggal di dalam tandas yang tidak digunakan di sebuah universiti.
Media tempatan melaporkan pada mulanya, Xiumei yang bekerja di sebuah restoran hanya menerima bayaran sebanyak 520 yuan (RM312) sebulan.
Memikirkan perbelanjaan kedua-dua anaknya yang kian meningkat, Xiumei nekad melakukan lima kerja dalam sehari.
Xiumei mula bekerja seawal 5 pagi untuk membersihkan sebuah bar, menjual susu di tepi jalan pada pukul 7 pagi, kemudian menjadi tukang sapu di universiti pada jam 8 pagi dan bekerja di restoran pada tengah hari hingga senja.
Walaupun terpaksa bersusah-payah, dia kini mampu tersenyum apabila kedua-dua anak lelakinya berjaya memasuki universiti berprestij.
Menurut Xiumei, ketika itu dia dan suami tinggal di dalam tandas seluas 9.3 meter persegi itu namun dia terpaksa bekerja sendirian kerana kesihatan suaminya tidak baik ekoran menghidap asma dan bronkitis kronik.
Mereka hidup sederhana kerana perlu menyara kos perubatan suami dan yuran anak sulungnya sebanyak 200 yuan (RM120) satu semester. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Mediacorp