NAPLES – Sekumpulan cef dari seluruh Itali bergabung tenaga memasak piza terpanjang di dunia sejauh hampir dua kilometer di tepi pantai di sini, kelmarin.
Untuk menyediakan piza yang dimasak dengan kayu api itu, mereka menggunakan 2,000 kilogram (kg) tepung, 1,600kg tomato, 2,000kg mozarela, 200 liter minyak, 30kg basil segar dan 1,500 liter air.
Seramai 400 tukang masak mengambil masa 11 jam untuk memecahkan rekod dunia yang ada sekarang iaitu piza sepanjang 1,595 meter yang dimasak di satu ekspo bertemakan makanan di Milan tahun lalu.
Alessandro Marinacci dari Naples’ Pizza Village menganjurkan cubaan itu bersama syarikat pengeluar tepung tempatan, Caputo.
“Ia sesuatu yang membanggakan bagi bandar ini, tempat piza dilahirkan,†kata Marinacci. Mereka akhirnya berjaya melakar rekod sepanjang 1,853 meter.
Rekod sekarang untuk piza terpanjang di dunia adalah 1,595.45 meter yang dimasak di Ekspo Milan 2015 di Milan pada Jun tahun lalu.
Ia dibuat menggunakan 1.5 tan keju mozarela dan dua tan sos tomato. Dengan berat lima tan, piza itu mengambil masa 18 jam untuk dimasak oleh lebih 60 cef. - Agensi/myMetro Online