SETELAH mula digunakan sejak 1974 susulan pembentukan Wilayah Persekutuan, kenderaan di Kuala Lumpur akhirnya bakal mengguna pakai siri plat pendaftaran baharu iaitu huruf V sekali gus menggantikan W selepas sambutan Hari Raya Puasa pada Julai depan.
Berita gembira tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi serta mengesahkan bahawa pihak kerajaan merancang untuk menukar nombor pendaftaran plat kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ini kerana kombinasi huruf dan nombor sedia ada yang diguna pakai oleh dua wilayah berkenaan pada ketika ini iaitu bermula dan berakhir dengan abjad seperti di Sabah dan Sarawak; dikatakan tidak lagi menarik dan sukar dibaca oleh kalangan masyarakat sendiri.
“Kita melihat pandangan umum ini ada kebenarannya apabila plat wilayah sudah begitu rumit dan menyebabkan pendapatan pihak kerajaan (melalui tender penjualan nombor pendaftaran) menurun kerana ia dilihat tidak begitu efektif,†kata Abdul Aziz.
Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari ketika berlangsung sesi persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di ibu negara pada Khamis.
Menurut Abdul Aziz, berdasarkan tinjauan secara umum, majoriti rakyat di negara ini lebih berkecenderungan untuk ‘melabur’ banyak wang bagi pembidaan tender jualan memiliki kombinasi nombor plat kenderaan yang lebih kecil berbanding nombor besar.
“Kita akan mengeluarkan nombor plat pendaftaran baharu untuk Kuala Lumpur yang bermula dengan ‘V’ memansuhkan W, manakala Perbadanan Putrajaya juga memohon nombor pendaftaran sendiri Putrajaya dan akan dikeluarkan dengan huruf ‘F’ mulai 1 Jun ini.
“Kombinasi huruf dan nombor ini akan mengecil semua dan mudah dibaca khasnya anggota penguat kuasa, sekali gus ini akan mencorak minat pemilik kenderaan kerana masyarakat di Malaysia minat kepada siri nombor plat yang kecil,†kata Abdul Aziz lagi.
Setakat 19 Mei 2016, nombor plat pendaftaran bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah ‘WC 4143 V’. Untuk rekod, Putrajaya pernah mengeluarkan siri plat sendiri iaitu Putrajaya setelah dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001 lalu.
Plat W terpaksa diubah suai mulai September 2013 lalu susulan pengumuman pemangku Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila siri WYY 9999 berakhir, dan ia ditetapkan bermula dengan kombinasi W 1 A sehingga W 9999 Y.
Selepas itu, ia menjadi siri WA 1 A sehingga WY 9999 Y dan kemudian sepatutnya diikuti WAA 1 A sehingga WYY 9999 Y dan WAAA 1 A sehingga WYYY 9999 Y. Di Malaysia, tiada huruf Z kerana plat itu hanya digunakan oleh kenderaan rasmi Angkatan Tentera Malaysia.
Sesuatu tidak ramai tahu khasnya generasi muda, siri plat W pernah digunakan kenderaan di Seberang Perai sebelum negara merdeka pada 1957 yang merujuk kepada Wellesley Province bagi dibezakan daerah tanah besar itu dengan bahagian pulau di Pulau Pinang iaitu P.
“Saya menjangkakan, ramai pemilik kereta mewah khususnya jenama Ferrari akan berebut untuk membida plat baharu F,†kata Abdul Aziz secara berseloroh. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka membuka tender bidaan pendaftaran Putrajaya itu akhir bulan ini.
Sekadar rekod, nombor plat kenderaan yang paling tinggi pernah dibida ialah W 1 N bernilai sebanyak RM748,000 dimenangi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail, malahan baginda juga pernah membeli WWW 1 pada 2012 dengan harga mencecah kira-kira RM520,000.