IDOMENI (Greece) – Polis Greek memindahkan hampir 2,000 pendatang dari kem yang terlampau sesak di Idomeni serta melancarkan operasi pembersihan khemah pelarian yang melarikan diri dari peperangan dan hidup miskin sejak berbulan lalu.
Operasi pembersihan bermula pada awal pagi dan menjelang petang pegawai Greece berkata seramai 2,031 orang diangkut dengan bas ke kem penempatan migran baharu berdekatan Thessaloniki, kira-kira 80 kilometer ke selatan negara itu.
“Operasi pemindahan ini akan disambung hari ini (Rabu),” kata pejabat penyelaras pendatang Greece dalam satu kenyataan.
Kumpulan yang dipindahkan itu termasuk 662 pelarian Syria, 1,273 Kurdis dan 96 Yazidis. Ratusan daripada mereka enggan memasuki pusat baharu berkenaan dan berjalan kaki keluar dari bandar Thessaloniki, demikian menurut sumber polis.
Kem di sempadan Macedonia itu menjadi simbol kesengsaraan bagaimana mangsa pelarian meneruskan kehidupan dengan negara Eropah berdepan dengan krisis migran terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Sempadan berkenaan antara beberapa sempadan di negara Balkan yang ditutup sejak pertengahan Februari lalu selepas kebanjiran pendatang yang sukar ditangani.
Kira-kira 700 pegawai polis dengan dibantu helikopter terbabit dalam operasi pemindahan itu namun kumpulan media ditegah daripada mendekati kem. – AFP/BH ONLINE