DENVER – Seorang wanita di Colorado, Amerika Syarikat dijatuhi hukuman 100 tahun penjara kerana mengeluarkan janin berusia lapan bulan daripada rahim ibunya menggunakan pisau dapur.
Hukuman dijatuhkan pada Jumaat selepas Dynel Lane, 36, didapati menyerang Michelle Wilkins dengan kejam di bandar Longmont, kira-kira 64 kilometer di utara Denver, Colorado.
Menurut laporan, Wilkins yang ketika itu hamil lapan bulan, berminat dengan iklan pakaian wanita hamil dan bayi dalam talian kendalian Lane.
Menurut pendakwa, ketika mangsa datang ke rumah Lane di Longmont untuk mencari baju bayi di tingkat bawah tanah, mereka berbual sebelum Lane ke dapur dengan membawa dua pisau, memukul dan menikam serta cuba mencekik sebelum memotong rahim dan mengeluarkan janin.
Beliau meninggalkan Wilkins dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai sementara membawa bayi itu ke hospital, mendakwa mangsa mengalami keguguran.
Sebaik sedar, Wilkins menghubungi polis. Lane mengaku mengeluarkan janin daripada rahim Wilkins, tetapi memberitahu polis Wilkins menyerang beliau dan sekadar cuba mempertahankan diri.
Lane berkata, dia sangka sudah membunuh Wilkins ketika bergelut dan cuba mengeluarkan bayi dalam usaha untuk menyelamatkannya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 48 tahun penjara kerana cubaan membunuh dan 32 tahun kerana menamatkan kehamilan yang menyalahi undang-undang.
Baki 20 tahun lagi adalah atas kesalahan serangan.
Pendakwa tidak meneruskan tuduhan membunuh janin dalam kandungan, ini kerana undang-undang negeri Colorado tidak mengiktiraf janin sebagai individu melainkan ia mampu hidup untuk satu tempoh tertentu di luar rahim, kata pendakwa sebelum perbicaraan. – Agensi/BH ONLINE