SIAPA sangka penyanyi muda berlesung pipit kelahiran Indonesia ini pernah mengharungi detik-detik gelap sewaktu zaman persekolahannya.
Afgan atau nama penuhnya Afgansyah Reza pada usia 14 tahun pernah menjadi mangsa buli selama tiga tahun sewaktu belajar di sekolah menengah.
Pengalaman hitam itu telah menjadikan dirinya seorang yang rendah diri dan kurang keyakinan pada diri sendiri serta takut untuk tampil di khalayak ramai, malah turut menjadikannya seorang yang pemalu.
Menurut pemuda berusia 26 tahun ini kepada sebuah portal Singapura, kerjaya nyanyiannya telah berjaya menghakis perasaan negatif itu dari dirinya.
“Saya rasa lebih baik sekarang disebabkan oleh peminat-peminat saya bila saya menyanyi di pentas. Saya lebih konfiden dan tidak lagi mempunyai rasa rendah-diri,†ujarnya.
Pelantun lagu Terima Kasih Cinta ini telah mengorak satu lagi langkah dalam industri seni apabila menyandang title sebagai sutradara bagi sebuah filem berjudul Gila Jiwa The Movie.
Filem itu adalah arahan bersama dengan beberapa sutradara lain terkenal Indonesia antaranya Ria Irawan. Melalui filem itu, Afgan berkongsi detik hitam yang dialami sewaktu zaman persekolahannya itu.
Tambah Afgan kepada portal itu lagi, kesudiannya menerima tawaran daripada Ria adalah kerana kebebasan yang diberikan dalam memilih jalan cerita filem tersebut.
“Sebagai sutradara buat pertama kalinya, saya berpuas hati boleh berkongsi isu ini kerana tidak ramai orang fikir isu buli di sekolah ini serius atau penting. Akhirnya, saya boleh melakukan sesuatu,†jelas Afgan.
Walau bagaimanapun, Afgan akui kelemahan dirinya semasa mengarahkan filem itu kerana kurangnya pengalaman namun bernasib baik kerana Ria banyak membantunya dalam menterjemahkan apa yang ingin disampaikan melalui filem itu.
“Pada hari pertama di set, saya rasa gementar sehingga tidak boleh berbicara. Paling susah ialah untuk terangkan apa yang ada di fikiran saya karna tiada sesiapa yang bisa melihat apa yang ada di otak fikiran saya.
“Saya perlu terangkan pada mereka. Kekadang mereka tidak dapat apa yang saya ingin. Mujur Ria Irawan faham apa yang saya inginkan,†akuinya.
Selain menjadi sutradara, Afgan ketika dihubungi portal itu menyatakan keghairahan dan teruja menantikan pelancaran album solo terbarunya berjudul Sides dan bakal diedarkan minggu ketiga bulan ini.
Sides merupakan album pertamanya selepas empat tahun dan menyifatkannya sebagai yang terbaik pernah dihasilkan sepanjang bergelar penyanyi.
Tambah menarik lagi, Afgan turut menyumbang bakatnya dalam menghasilkan melodi dan lirik untuk enam buah lagu yang terdapat di dalam album tersebut. – MYNEWSHUB.CC