“PEKERJA yang jujur tidak akan mencuri waktu pejabat untuk menjalankan kerja peribadi. Kalau tidak jujur dengan kerja jangan mimpi anda akan berjaya dalam karier,” kata Pakar Motivasi, Dr. Azizan Osman.
Allah mencipta manusia sebagai makhluk yang hebat. Allah berikan nyawa lebih dahulu, sebelum diperintahkan manusia untuk beribadat.
Ini falsafah sains yang besar dalam memahami hukum alam mengenai manusia. Bagi Dr. Azizan, manusia dicipta dengan kasih-sayang Allah sebelum diperintah menjadi hamba.
“Begitulah juga falsafah hidup. Tidak kira sekali pun dalam perniagaan. Kita harus memberi sebelum menerima. Segalanya bukan soal untung, tetapi soal berkat,” katanya.
Ruang pejabat menjadi beku. Sekali pun Dr. Azizan diam sejenak, tiada suara yang mengisi perbualan. Semua terpana mendengar hujahnya mengenai hakikat kejadian manusia serta sikap manusia dalam menangani kehidupan.
“Anda tidak boleh bernafas kalau sekadar menyedut udara. Anda mesti melepaskan udara untuk terus bernyawa,” katanya ketika pertemuan ramah-mesra bersama Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Izelan Basar.
Islam bukan semata-mata mengenai baik dan jahat. Dr. Azizan percaya, hebatnya Islam ialah bagaimana melaksanakan kebaikan itu secara praktikal dalam kehidupan.
Sebagai pekerja, kata Dr. Azizan, tanpa kasih-sayang pada syarikat, tiada kejayaan yang akan diraih oleh penjawat yang sekadar datang ke pejabat untuk cari makan.
Ibadah dalam pekerjaan ialah kemurnian hati dan kecerdasan fikiran dalam melaksanakan kerja.
Dr. Azizan, 42, anak kelahiran Kelantan tetapi membesar dan bersekolah di Johor. Namun, akhirnya pada usia 16 tahun mengikuti keluarga berpindah dan bermastautin di Melaka.
“Saya pernah susah. Saya faham mengenai apa itu rezeki. Semakin banyak kita memberi, Insha’Allah akan semakin banyak kita menerima,” katanya dengan mata yang bergenang.
Falsafah motivasi, katanya, bukan bercakap mengenai soal keuntungan dan wang. Kita bercakap mengenai bagaimana melalui motivasi kita membangunkan minda dan jiwa umat Islam untuk menghargai kehidupan.
Pertemuan sejam yang ringkas menemui banyak titik persamaan antara misi Dr. Azizan dengan matlamat TV Alhijrah.
“Dalam motivasi Barat, Injil dijadikan rujukan dalam konteks rujukan kerohanian. Penyerapan nilai Injil diserap melalui motivasi. Kita harus memperkukuhkan motivasi Islam supaya Al-Quran juga terus hidup melalui seminar motivasi,” katanya lagi.
Dalam pertemuan itu beberapa perkongsian strategik diatur untuk menyatukan misi falsafah motivasi Dr. Azizan dengan matlamat kandungan TV Alhijrah.
“Tunggu,” kata Izelan: “Sesuatu yang besar akan berlaku tidak lama lagi. Semuanya bermula di sini!”
Dr. Azizan akan membentangkan Viva Phd keduanya minggu depan.
Tahniah! Orang pintar sentiasa dahagakan ilmu. Moga Dr. Azizan berjaya dan terus berjaya. – MYNEWSHUB.CC