PELAKON Nora Danish yang sedang hangat dilamun cinta dengan Nedim Nazri mengakui anak tunggalnya, Putra Rayqal Ramli, 7, mengimpikan adik baharu.
Menurut aktres comel itu, Rayqal sudah lama teringin mempunyai adik baharu lebih-lebih lagi adik perempuan bagi menceriakan kehidupannya.
“Rayqal teruja kerana sudah lama mengimpikan seorang adik. Mungkin kerana sering bersendirian di rumah, Rayqal inginkan seseorang untuk menemaninya. Rayqal ada memberitahu, dia teringin mendapat adik perempuan.
“Keinginannya itu membuak-buak hingga Rayqal selalu berpesan supaya saya banyak makan kerana mahu perut saya besar. Sangkaannya, setiap wanita berbadan besar sedang mengandung. Saya hanya mampu ketawa setiap kali Rayqal membangkitkan perkara ini,” ujar Nora dipetik menerusi BH Plus.
Percintaan di antara Nora dan Nedim bukan lagi rahsia malah kedua-duanya dikatakan sedang dalam fasa untuk mendirikan rumah tangga selepas beberapa tahun bercinta.
Nedim, duda anak satu merupakan anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz. – MYNEWSHUB.CC