SEKUMPULAN anak itik berjaya diselamatkan oleh anggota bomba setelah terjatuh dalam longkang dalam satu kejadian di Auckland, New Zealand pada Sabtu lalu.
Tindakan anggota bomba itu menerima pujian ramai kerana sanggup menyelamatkan haiwan berkenaan malah menunjukkan bahawa kerjaya bomba bukan sahaja memadam kebakaran malah membantu yang memerlukan.
Sebuah klip video berdurasi 1 minit 4 saat yang dimuat naik ke laman YouTube milik Titirangi Volunteer Fire Brigade menunjukkan si ibu itik itu memerhatikan tiga anggota bomba berusaha mengeluarkan anak-anaknya.
Menurut Randolph Covich, ketua pegawai Titirangi Volunteer Fire Brigade, sepanjang ‘operasi’ itu, ibu itik tersebut tidak henti-henti menguek dan berulang-alik berhampiran longkang tersebut kerana risau akan anak-anaknya.
“Ia mengepak-ngepak, jadi kami harus pastikan ia tidak berada di jalan raya dan dilanggar kenderaan,” katanya.
Melalui klip video tersebut, seorang anggota bomba kelihatan meniarap di jalan raya untuk mencapai dan mengeluarkan anak-anak itik daripada longkang itu satu persatu.
Anak-anak itik yang berjaya diselamatkan diletakkan di dalam kon berwarna jingga untuk mengelakkan dari kembali terjatuh ke dalam longkang tersebut atau dilanggar kenderaan.
Jelas Convich lagi, ‘operasi menyelamat’ itu mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk mengeluarkan kesemua lapan anak-anak itik tersebut.
Anak-anak itik yang berjaya diselamatkan dilepaskan ke seberang jalan bersama ibunya. – MYNEWSHUB.CC