KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, yang tidak sedarkan diri ketika sesi sidang Dewan Rakyat bulan lepas, semakin sihat setelah menjalani proses pemulihan.
Rakannya yang juga Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata Mohamed Hanipa kini menjalani pemulihan di Hospital Rehabilitasi di Cheras sejak minggu lepas.
“Beliau nampak semakin sihat, sedang menjalani pemulihan termasuk fisioterapi di Hospital Rehabilitasi di Cheras,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Pada 4 April lepas, Mohamed Hanipa dari Parti Amanah Negara (Amanah), dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 5.30 petang setelah didapati pengsan di tempat duduknya semasa persidangan Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Mohamed Hanipa berbahas dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai berkenaan Rang Undang-Undang Syarikat 2015.
Beliau dirawat di Jabatan Neurologi HKL setelah mengalami sedikit pendarahan di kepalanya. – BERNAMA