SEOUL: Ketua syarikat Reckitt Benckiser, Ata Safdar memohon maaf dan mengaku bertanggungjawab menjual bahan pembasmi kuman karsinogenik yang telah dipercayai menjadi punca kematian lebih 100 orang di republik tersebut.
Menerusi klip video berdurasi 25 saat itu, sejurus Safdar menaiki podium, dia telah diserang secara tiba-tiba oleh salah seorang ahli keluarga mangsa pada sidang media tersebut yang diadakan di sebuah hotel di Seoul.
Wakil syarikat itu ditampar dan ditolak beberapa kali menyebabkan keadaan huru-hara.
Syarikat tersebut merupakan antara beberapa lagi perusahaan lain yang dipersalahkan atas kemalangan yang berlaku disebabkan oleh keracunan bahan pembasmi kuman.
Walau bagaimanapun, pihak syarikat itu telah menawarkan pampasan kepada keluarga mangsa yang meninggal serta ratusan lagi yang mengalami kecederaan.
Pihak Reckitt Benckiser telah menarik balik produknya dari pasaran setelah pihak berkuasa Korea Selatan menyatakan terdapat perkaitan di antara bahan pembasmi kuman itu dengan penyakit paru-paru yang dialami penduduknya pada 2011.
Tambah Safdar lagi, pihaknya telah menubuhkan tabung kemanusiaan bernilai 4.3 juta dolar bagi membantu mangsa dan keluarga mereka.
Rata-rata yang menjadi mangsa produk berkenaan adalah dari golongan kanak-kanak dan wanita mengandung.
Produk yang dimaksudkan adalah Oxy Ssak Ssak, iaitu sejenis pembasmi kuman yang dikeluarkan oleh Reckitt Benckiser di Korea Selatan sejak 2001 dan telah menyebabkan 103 kematian.
Pihak syarikat itu dikutuk kerana mengambil masa yang lama bagi memohon maaf dan bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku. -MYNEWSHUB.CC