SEORANG bayi berusia lapan bulan bernasib baik apabila dapat diselamatkan daripada risiko maut, setelah didakwa ditinggalkan oleh bapanya di dalam kereta yang sibuk hendak ‘mencantikkan badan’ di gim.
Dalam kejadian di Los Angeles pada 29 April lalu, Solomon Allen, 25, dikatakan telah pergi ke gim untuk bersenam dengan membawa bayi perempuannya bersama.
Namun sejurus tiba di lokasi, Allen didakwa meninggalkan bayinya itu di dalam kereta yang tidak dimatikan enjin sementara dia pergi bersenam selama 90 minit di dalam gim, lapor portal Independent.
Menurut portal Los Angeles Times, difahamkan Allen melalui laman Twitternya mengaku dirinya sebagai seorang jurulatih peribadi.
Namun dia telah ditahan pada hari yang sama oleh seorang pegawai polis setelah dimaklumkan oleh orang ramai tentang kejadian itu.
Menurut seorang jurucakap Jabatan Polis Los Angeles, Matthew Ludwig berkata, bayi berkenaan dikeluarkan dari kereta yang tidak berkunci itu di luar sebuah gim yang beroperasi 24 jam.
Tambah Ludwig lagi, Allen didakwa atas tuduhan cubaan membahayakan kanak-kanak dan bayi perempuan itu dihantar ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga malah ibu bayi (isteri Allen) turut dihubungi.
Walau bagaimanapun, Allen dikenakan ikat jamin sebanyak $100,000 di atas perbuatannya itu. – MYNEWSHUB.CC