KUALA LUMPUR – Mereka yang mengeluarkan pelbagai komen jijik mengenai kematian Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon diminta supaya bertaubat dan menginsafi diri sendiri.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbuatan terbabit bercanggah dengan tuntutan agama apabila seseorang muslim menerima khabar mengenai kematian saudara seagama mereka.
“Kepada segelintir yang membuat komentar berbaur sentimen sempit tidak bertempat lagi bercanggah dengan tuntutan Islam dan adat, insaflah.
“Kemalangan boleh menimpa siapa saja dalam sekelip mata. Ia qadha dan qadar Ilahi,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Annuar dalam pada itu meminta ahli keluarga mangsa dan semua pihak yang bersimpati dengan insiden tersebut supaya bersabar menerima ujian yang berat tersebut.
Mynewshub hari ini melaporkan tentang sikap kurang ajar ahli dan penyokong Pakatan Harapan melemparkan pelbagai kata-kata keji ke atas allahyarhamah Noriah yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak semalam. – MYNEWSHUB.CC