Baghdad – Sebuah bom kereta yang menyasarkan jemaah Syiah yang menghadiri satu acara keagamaan meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa, semalam.
Kejadian itu yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang cedera berlaku di jalan raya di Nahrawan yang digunakan jemaah Syiah untuk ke makam Imam Musa Kadhim di utara Baghdad.
Kumpulan pengganas Daish mengaku bertanggungjawab dan berkata, ia dilakukan seorang anggotanya yang meletupkan sebuah kereta berisi tiga tan bahan letupan.
Daish menganggap penganut Syiah yang menjadi penduduk majoriti Iraq, bukan Islam.
Musa Kadhim, imam ketujuh daripada 12 imam yang dipuja penganut Syiah, meninggal dunia pada 799 Tahun Masihi.
Upacara memperingati kematiannya diadakan setiap tahun dan ia satu daripada acara besar di Iraq sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya selama beberapa hari di Baghdad setiap kali diadakan.
Tahun lalu, acara itu juga dicemari serangan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang mati.
Serangan semalam berlaku ketika ratusan orang menunjuk perasaan di Baghdad untuk mendesak kerajaan melakukan pembaharuan.
Mereka berhimpun di Dataran Tahrir dan berhampiran Zon Hijau, tempat terletaknya pusat pentadbiran kerajaan. – Agensi/myMetro Online