GEORGETOWN – Dua pekerja kilang hari ini dijatuhi hukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki yang dikenali mereka, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas mandapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan.
V Veeran, 34, dan M. Sasitharan,25, didakwa membunuh S. Vijaindran di kaki lima di antara kedai nombor 24 dan 26, Jalan Tasek SS/1, Bandar Tasek Mutiara di Seberang Perai Selatan pada 11 malam, 4 Jun 2011.
Nordin dalam keputusannya berkata berdasarkan keterangan saksi ke-12,
mahkamah mendapati keterangan saksi itu tidak mereka-reka cerita serta bersifat berwibawa.
“Saksi ke-12 itu telah melihat sendiri tertuduh menetak berkali-kali pada mangsa,” katanya.
Pada 2014, kedua-dua tertuduh itu didakwa membunuh lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jailani Abdul Rahman.
Peguam RSN Rayer yang mewakili kedua-dua tertuduh ketika ditemui berkata, pihaknya akan menfaikan rayuan berhubung keputusan itu. – BERNAMA