KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Johor akan menjadi negeri yang memberi kemenangan besar kepada parti itu selepas gagal memperoleh kuasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, Johor akan mengambil alih kepimpinan dari Sarawak untuk menjadi barisan hadapan kononnya bagi merubah politik Malaysia dan memberi kuasa kepada DAP.
“Johor kini perlu mengambil alih kepimpinan dari Sarawak untuk menjadi barisan hadapan untuk perubahan politik di Malaysia.
“Peranan sebagai barisan hadapan untuk perubahan politik di Malaysia kini jatuh di bahu Johor dan pemimpin-pemimpin DAP Johor,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
DAP yang bertanding di 31 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sarawak pada 7 Mei lalu cuma menang tujuh kerusi.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 40 kerusi pula sekadar menang tiga kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) dan PAS gagal memenangi sebarang kerusi. – mynewshub.cc