PADA pukul 3.40 petang Jumaat, jenazah pertama korban tragedi helikopter terhempas di Sebuyau dekat Kuching telah tiba di padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Jenazah berkenaan dipercayai adalah Allahyarham Datuk Noriah Kasnon iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga ahli Parlimen Sungai Besar di Selangor.
Turut hadir menyambut jenazah itu ialah Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat serta ahli Parlimen Batang Lupar.
Menurut Rohani dalam kenyataan di laman Facebooknya kira-kira sejam lalu dia telah berada di IPK Sarawak untuk menyambut jenazah Noriah, yang sudah dianggap sebagai adiknya sendiri.
Apabila jenazah sampai, ternyata Rohani tidak dapat menahan rasa sebak dan sedih melihat jenazah ‘adik’nya itu. Jenazah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk urusan seterusnya. – MYNEWSHUB.CC