KUALA LUMPUR – Kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan Indah Water di Jalan Universiti Petaling Jaya, menyebabkan sebuah kereta terhumban semalam, telah diarah menutup korekan terbuka dengan penutup konkrit.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataan medianya memaklumkan kerja awalan tersebut telah disiapkan pada hari sama (semalam).
“Untuk kawalan keselamatan jangka masa panjang, setiap korekan terbuka akan ditambah satu lapisan benteng konkrit setinggi satu meter dari aras permukaan jalan mengelilingi korekan terbuka.
“Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang objek daripada jatuh ke dalam korekan terbuka. Dalam masa sama, langkah-langkah keselamatan sedia ada akan diperkemas,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadiaan 1.30 tengah hari semalam, seorang warga emas dikenali sebagai Yong, 86, dan pembantunya, Marivl Palquing Estoea, 30, terselamat selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang projek pembetungan sedalam 12 meter di Seksyen 17 Damansara, dekat sini.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan. – BERNAMA