BARU-BARU ini, pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad telah membuat laporan polis akibat ditengking oleh isteri Amy Search, Norish.
Berdasarkan laporan polis itu, Yazid mendakwa ditengking oleh Norish atau nama sebenarnya Norhasniza gara-gara bertanyakan wang pembayaran pembabitannya dalam konsert 35 Tahun Search yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Ogos nanti.
Yazid dikatakan bertanyakan mengenai wang itu susulan terkejut mendapat tahu dari pihak penganjur bahawa bayaran sejumlah RM75,000 sudah dilunaskan kepada kumpulan Search pada Disember 2015 namun dia tidak pernah menerima satu sen hingga kini.
Laporan polis itu dikatakan dibuat di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, Yazid akui sudah banyak bersabar dengan karenah anggota Search sebelum ini.
“Saya memang sudah tawar hati dengan Search. Perasaan ini sudah lama dirasai tetapi saya banyak bersabar.
“Apa yang saya cakap ini ada kebenaran dan disertakan dengan bukti. Saya dimaki oleh Nourish hanya kerana bertanya mengenai wang yang sepatutnya saya terima,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya, dia tidak kisah disaman oleh pihak berkenaan demi mempertahankan haknya selama ini.
Sementara itu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman yang merupakan vokalis kumpulan Search enggan mengulas lanjut perihal isu berkenaan. - MYNEWSHUB.CC