JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai melakukan perbuatan vandalisme ke atas sebuah bas milik Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menjelang perlawanan Liga Super antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini.
Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (JPJKK), ACP Abdul Wahib Musa berkata kedua-dua suspek ditahan di Jalan Bukit Meldrum iaitu di belakang hotel penginapan skuad Pahang.
Bas, yang membawa 30 anggota pasukan iaitu barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain, diletakan di perkarangan hotel itu sejak semalam.
“Bas itu dipercayai disembur cat berwarna putih dengan perkataan ‘Hilang Ke ???’. Perbuatan ini dipercayai dilakukan antara 7 malam semalam dan 8.30 pagi ini,” katanya kepada pemberita di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini.
Justeru, katanya PNBP membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pada 12.40 tengah hari tadi.
Abdul Wahib berkata kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan khianat itu selepas ditahan hasil maklumat orang awam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kedua-dua suspek bukan penyokong JDT.
Suspek pertama berusia 21 tahun berasal dari Kelantan dan bekerja di kedai barangan logam manakala suspek kedua berusia 35 tahun berasal dari Tampoi, Johor Bahru dan bekerja sendiri, katanya.
Beliau berkata kejadian ini dipercayai berpunca dari ketidakpuasan suspek terdapat keputusan Pahang yang dilihat semakin merosot dalam kempen Liga Super. – BERNAMA