IPOH – Perak tidak akan membuat catuan bekalan air walaupun paras di Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal kedua berikutan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata paras semasa air di empangan itu adalah 6.7 meter (22 kaki) yang meningkat 0.09 meter berbanding semalam.
“Dengan perkembangan semasa ini, ia melegakan kita kerana dapat mengelak daripada melakukan catuan memandangkan paras air pada masa ini dapat menampung keperluan harian untuk loji air di Semanggol.
“Peningkatan ini juga mungkin mampu menampung loji-loji lain memandangkan adanya satu empangan di Air Kuning Taiping yang parasnya menunjukkan penurunan. Meskipun penurunan itu tidak drastik tetapi ia mampu bertahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Mini Karnival Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) 2016 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.
Zainol Fadzi berkata peningkatan paras air sejak beberapa hari lepas memberi kelegaan kepada penduduk sekitar Kerian, Kamunting, Taiping serta kawasan perindustrian.
“Berdasarkan kajian, kalau paras air turun sehingga 17 kaki (5.18 meter) kita memerlukan 23 hari untuk mencapai paras 20 kaki (6.09 meter),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri mempertimbang kemungkinan menyalurkan lebih banyak air ke kawasan pertanian di daerah Kerian jika paras air di Empangan Bukit Merah mencecah 7.01 meter atau 23 kaki ke atas.
“Buat masa ini, hanya 70 cusec sahaja yang diberikan kepada sawah padi untuk pengairan berbanding dahulu sewaktu paras air 23 kaki, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) menyalurkan pengairan ke sawah padi sebanyak 300 cusec.
“Tetapi untuk kompartmen G dan H, kita masih belum boleh salurkan air memandangkan ia masih di paras kritikal tahap dua. Kalau ia melepasi paras kritikal tahap satu, kita bersama pihak IADA (Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu) akan mempertimbang menyalurkan air untuk pengairan sawah padi,” katanya.
Zainol Fadzi berharap paras air akan terus meningkat bagi membolehkan pelepasan air di kompartmen G dan H yang melibatkan kawasan sawah padi seluas kira-kira 5,000 hektar di kawasan Selinsing dan Gunung Semanggol dapat disalurkan.
“Ini kerana lebih 1,800 petani di kawasan itu yang bergantung hidup sepenuhnya kepada pendapatan hasil padi,”katanya.
Menurutnya kerajaan negeri Perak juga merancang memberi bantuan kepada petani dan perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. – BERNAMA