SETELAH mendirikan rumah tangga bersama Nureffy, penyanyi Hafiz Suip mengakui bahawa dia tidak menghalang isterinya berkerja kerana mahu isterinya memahami kepayahan dan kesungguhan yang diperlukan untuk mencari rezeki.
Tambah Hafiz, dia juga tidak mahu isterinya mensia-siakan segala pengetahun dan ilmu yang dipelajari sepanjang pengajian sehingga berjaya mendapat ijazah.
“Saya tidak mahu menghalang Effy mengejar cita-citanya dan saya pasti mertua saya juga tidak mahu anak mereka mensia-siakan ijazah yang dimiliki.
“Saya menyokong 100% jika dia mahu bekerja, saya mahu dia tahu betapa susahnya untuk mencari rezeki.
“Effy baru sahaja tamat pengajian dan saya tidak mahu apa yang dipelajari ditinggalkan begitu sahaja kerana menumpukan perhatian terhadap rumah tangga,” katanya kepada BH Online.
Tambah Hafiz, dia membiarkan isterinya membuat keputusan mahu bekerja separuh masa atau sepenuh masa tetapi sebagai suami dia tidak kisah jika isterinya mahu mengejar impian untuk menjadi wanita bekerjaya. – MYNEWSHUB.CC