KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan helikopter yang membawa beberapa individu kenamaan yang hilang di Sarawak sejak petang tadi masih belum ditemui.
Beliau meminta orang ramai untuk tidak mempercayai sebarang khabar angin yang tersebar dalam media sosial berhubung penemuan helikopter berkenaan.
“Setakat ini helikopter berkenaan belum ditemui dan pihak polis dengan kerjasama agensi keselamatan yang lain sedang mengaturkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) penumpang heli berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Sabtu Othman, akan mengadakan sidang media berhubung kehilangan helikopter itu. – Berita Harian