PENERAJU utama drama bersiri Isteri Vs Tunang, Hisyam Hamid mengakui dirinya merindui kerjaya sebagai anggota bomba di Singapura dan sebagai seorang bekas anggota bomba, bau asap api sudah sebati dalam hidupnya.
“Pernah satu masa, saya membuka tingkap kereta semasa memandu hanya untuk bau asap sehingga ditegur oleh isteri.
“Sebenarnya perkara itu datang secara semula jadi dan merupakan pengubat rindu,” katanya kepada Rotikaya pada Majlis Seleksi Program Terbaik Ramadhan Astro 2016.
Tambahnya, minat yang mendalam untuk menjadi seorang pelakon merupakan pendorong kepadanya untuk terus berusaha dan berkarya dan tidak pernah menyesal melepaskan kerjayanya sebagai seorang ahli bomba.
“Saya tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya dahulu untuk menjadi anak seni. Tetapi, saya menjadi bomba selama lapan tahun membuatkan saya suka dan selesa akan suasana kerja tersebut.
“Saya juga mempunyai rakan kerja yang baik, jadi bukan mudah untuk saya lupakan suasana itu walaupun sudah bergelar artis,” katanya. – MYNEWSHUB.CC