KUCHING – Penerbangan sulung Hong Kong Airlines ke Kuching diberi sambutan semburan air sebaik sahaja beredar menuju ke tempat meletak pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 5.30 pagi ini.
Penerbangan bersejarah itu, yang mengambil masa tiga jam, 30 minit, meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 1.55 pagi, manakala penerbangan pulangnya pula berlepas pada 6.20 pagi dan tiba di Hong Kong pada 9.55 pagi.
Ketibaan penumpang dan anak kapal pesawat itu disambut Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, yang juga ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Datu Ik Pahon Joyik dan pengurus besar (pemasaran) Malaysia Airports Holdings Berhad Mohamed Sallauddin Mat Sah.
Mulai hari ini, Hong Kong Airlines mengadakan penerbangan ke Kuching dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Sabtu. – BERNAMA