IBU kepada seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh dalam parit sehingga menyebabkan kematian seekor gorila di Zoo Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat, baru-baru ini menafikan dia cuai sehingga menyebabkan anaknya jatuh.
Ibu kanak-kanak berusia empat tahun itu, Michelle Gregg, 32; dan bapanya, Deonne Dickerson, 37; teruk dikritik netizen gara-gara kecuaian mereka sehingga menyebabkan anak mereka terjatuh.
Zoo Ohio Tembak Mati Gorila Heret Kanak-Kanak
Gorila jantan berusia 17 tahun yang diberi nama Harambe itu terpaksa ditembak mati oleh staf zoo selepas haiwan itu dipercayai boleh mencederakan kanak-kanak berkenaan.
Namun, ramai marah dengan tindakan yang diambil oleh pihak zoo dalam menyelamatkan kanak-kanak itu kerana menurut mereka Harambe bukan berniat untuk mencederakan sebaliknya hanya mahu melindungi budak tersebut.
Menulis dalam Facebook, Michelle berkata dia sama sekali tidak cuai malah sangat berjaga-jaga dengan keselamatan anaknya.
“Sebagai masyarakat kita sering kali senang nak buat andaian, cakap ibu bapa tak jaga anak mereka. Kalau mereka mengenali saya, saya adalah seorang yang sangat bertegas dalam hal penjagaan dan pengawasan anak-anak,” luahnya. – MYNEWSHUB.CC