SEORANG ibu sanggup terbang ke China semata-mata untuk menyelamatkan kakak kepada anak angkatnya selepas mengetahui mengenai budak itu melalui Facebook.
Lisa Lumpkins dari Kentucky sedang membelek media sosial apabila dia melihat wajah budak itu, Avery, 13, yang seiras dengan anak angkatnya, Aubrey, 12.
Aubrey berasal dari China dan telah dijadikan anak angkat oleh keluarga Lisa dan kanak-kanak itu dibawa ke Kentucky.
Selepas melihat gambar Avery yang dimuatnaik dalam Facebook oleh rakannya, yang merupakan sukarelawan di rumah anak yatim di China, Lisa terkejut.
“Mereka kelihatan sangat serupa dan kedua-duanya mempunyai cerebral palsy. Hati saya terdetik mungkin mereka adalah dua beradik,” katanya.
Lisa kemudiannya memutuskan untuk menghubung rumah anak yatim di China itu dan kedua-dua pihak setuju DNA dijalankan terhadap Avery serta Aubrey.
Keputusan DNA itu mengesahkan bahawa Avery dan Aubrey adalah dua beradik.
Namun Lisa kini terpaksa bergelut dengan masa kerana Avery akan berusia 14 tahun pada bulan Ogos ini dan berdasarkan undang-undang ketat di China, dia tidak lagi boleh dijadikan anak angkat selepas berusia 14 tahun.
Ini bermakna Avery akan kekal di China selepas tempoh berkenaan. – MYNEWSHUB.CC