BERIKUTAN laporan polis yang dibuat oleh pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad, kali ini isteri Amy iaitu Norish tampil mempertahankan dirinya.
Norish atau nama sebenarnya Norhasniza Hassan mengakui ada memarahi Yazid namun tindakannya itu bersebab kerana mahu mempertahankan suami dan anggota Search yang lain selepas dituduh menipu.
“Siapa-siapa pun yang memburukkan keluarga terutamanya suami, saya akan bertindak mempertahankan maruah keluarga kami.
“Dia (Yazid) yang memulakan pertengkaran tersebut malah menuduh suami saya penipu dan anggota Search yang lain sebagai pecah amanah.
“Saya tidak boleh tahan dan bertindak memarahi dia semula kerana bagi memberi kesedaran kepada dia tentang tuduhan tersebut salah,” katanya kepada portal Malaysian Digest.
Pada masa yang sama, Norish merangkap pengurus Amy Search berkata, Yazid sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada anggota Search kerana bekerja keras untuk mencari rezeki mereka bersama dan bukan melakukan tuduhan sedemikian.
“Dia patut berterima kasih kerana kami bersengkang mata meeting (mesyuarat) sampai malam untuk urusan setiap persembahan dan biarpun dia tidak bersama, kami tetap sediakan bahagian (wang) dia.
“Dia terima sama banyak dengan ahli lain dapat biarpun dia tidak sihat dan tidak boleh terlibat dengan persembahan tersebut,” katanya.
BACA: Dimaki Isteri Amy Search Tanya Bayaran, Yazid Lapor Polis
Sementara itu, vokalis kumpulan itu, Amy memberitahu, dia ada terdengar perbualan Yazid dan isterinya.
“Saya ada dengar perbualan mereka, kemudian memang isteri saya meninggi suara tetapi dia bersikap begitu selepas diprovok. Iyalah, siapa yang tidak marah jika suaminya dituduh pecah amanah.
“Saya kecewa dan terkilan kerana tidak pernah ada sifat-sifat kami ingin menyamun duit itu dari Yazid.
“Selama ini saya dan anggota lain memilih untuk berdiam dengan sikap dia yang memburuk-burukkan kami tapi tindakan menuduh kami pecah amanah adalah tuduhan tak berasas. Hanya kerana dia mahukan simpati dia sanggup mencaci kawan-kawan dia,” katanya.
Tambah Amy, wang pendahuluan RM75,000 yang diterima daripada pihak penganjur AF Jet Sdn. Bhd. sebenarnya digunakan bagi mengadakan sidang media, promosi, dan pelbagai perkara berkaitan penganjuran konsert itu.
Pada 4 Mei lalu, Yazid telah membuat laporan polis selepas mendakwa ditengking Norish ketika dia bertanyakan soal bayaran konsert 35 Tahun Search yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Ogos nanti. – MYNEWSHUB.CC