LOS ANGELES – Penyanyi, Janet Jackson dikhabarkan hamil trimester kedua hanya beberapa minggu menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya ke-50 tahun pada 16 Mei ini.
Menerusi E! News, beliau sering ditemani suaminya yang juga jutawan daripada Qatar, Wissam Al Mana, 41, mendapatkan perundingan bulanan daripada doktor pakar.
Jackson mengahwini Al Mana secara rahsia pada 2012 tetapi mereka hanya membuat pendedahan mengenai perkahwinan itu setahun kemudian, sekali gus mengesahkan desas-desas bertebaran sebelum itu.
Terdahulu, khabar angin mengenai kehamilannya mula diperkatakan awal April lalu sebaik saja beliau mengumumkan penundaan konsert Unbreakable menerusi Twitter dengan alasan ‘mahu membina keluarga’.
“Kami sedang menjalani jelajah fasa kedua, tetapi ada perubahan. Penting bagi saya, anda (peminat) menjadi orang pertama mengetahuinya.
Saya harus menundakan konsert ini kerana merancang memiliki anak. “Saya harus mengikut nasihat doktor supaya banyak berehat, namun saya tidak akan melupakan anda semua.
Saya mahu meneruskan konsert andai dibolehkan,” kata adik Michael Jackson itu yang dijangka bersalin sebelum akhir tahun ini. – BHarian Online