PELAKON Izreen Azminda yang tersingkir pada minggu keempat  konsert Gempak Superstar mengakui kritikan tajam juri dalam program realiti itu membuatkan peserta terguris hati.
Tambahnya, komen yang bernada menghentam adakalanya turut menyebabkan peserta berasa tertekan dan ‘down’.
“Jujur saya katakan, kritikan yang begitu tajam mengguris hati kami semua. Tambah-tambah lagi dengan nada menghentam, memang kami akan rasa tertekan dan ‘down’.
“Bila diberikan komen yang menghentam, mulalah saya rasa serba tak kena dan kadang-kadang ia mengganggu fikiran saya.
“Seperti kata Datuk Ramli MS, kalau intonasi menegur itu okay, maka kami pun akan okay dengan komen tersebut.
“Bukan mudah nak hafal skrip lakonan, lirik lagu, step tarian dalam masa yang singkat.
“Kalau diberi tugasan ini kepada penyanyi sebenar pun saya tak rasa mereka dapat lakukan,” katanya kepada Astro Gempak.
Berikutan itu, Izreen berharap juri memahami situasi para peserta yang tidak cukup masa latihan dan ditambah pula dengan kerjaya seni mereka.
Dalam pada itu, Izreen memberitahu dia telah buat yang terbaik dan beranggapan rezekinya sampai di situ sahaja.
Program realiti Gempak Superstar yang menampilkan para aktor dan aktres tanah air menyanyi sambil berlakon kini bersiaran setiap Ahad, pada jam 9.00 malam  di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). – MYNEWSHBUB.CC